Lelaki dalam proses cerai ditahan berkhalwat dengan wanita bukan muhrim
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang mendakwa sedang melalui proses perceraian ditahan berkhalwat bersama seorang wanita bujang dalam satu serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di Permas Jaya, kelmarin.
JAINJ, berkata, serbuan di tingkat tiga hotel berkenaan dilakukan kira-kira jam 12.50 tengah malam.
“Pintu bilik hanya dibuka selepas kira-kira lima minit diketuk, oleh seorang lelaki yang lengkap berpakaian.
“Keadaan bilik gelap dan lelaki itu memaklumkan dia berada seorang diri. Namun pemeriksaan menemukan pakaian dalam wanita di atas kerusi.
“Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu bilik air sebelum seorang wanita keluar dalam keadaan berkemban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
JAINJ memaklumkan, lelaki berusia lingkungan 30-an itu sudah berkahwin, manakala wanita terbabit berusia 20-an dan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan.
Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut merupakan senior di tempat kerja yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada wanita berkenaan, dan hubungan mereka dipercayai berunsur skandal sebelum wanita itu bertukar tempat kerja.
“Lelaki tersebut mendakwa sedang dalam proses perceraian dan tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya.
“Pasangan itu juga mendakwa telah bertunang walaupun lelaki terbabit masih berstatus suami.
“Mereka merancang untuk berkahwin selepas proses perceraian selesai,” katanya lagi.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







