Pasangan suami isteri ditahan disyaki proses, jual air ketum
KUANTAN – Sepasang suami isteri ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah di Kampung Bukit Rangin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pasangan berusia 52 dan 62 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 4 petang hasil maklumat awam berhubung kegiatan berkenaan.
Menurutnya, polis turut merampas 1,150 bungkusan plastik lut sinar berisi daun ketum seberat 187.5 kilogram (kg) serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15,745,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit dipercayai memproses kira-kira 300kg daun ketum setiap minggu untuk dipasarkan kepada pelanggan.
“Daun ketum itu dibungkus dan dijual pada harga RM40 bagi setiap kilogram dengan pembelian minimum satu kilogram,” katanya lagi.
Ashari berkata, hasil siasatan juga mendapati kegiatan berkenaan dipercayai telah dijalankan sejak lebih sebulan lalu.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pemprosesan dan pengedaran air ketum yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








