Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup air ketum ke Singapura
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 37 tahun ditahan pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas, Singapura, selepas cuba menyeludup sebotol air ketum ke republik itu.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura memaklumkan, kejadian berlaku pada 14 Oktober lalu apabila lelaki terbabit yang menunggang motosikal ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika ditanya sama ada dia mempunyai barangan untuk diisytiharkan, lelaki itu dengan yakin menjawab ‘tiada’.
“Namun, pemeriksaan terperinci membawa kepada penemuan sebotol cecair disyaki air ketum yang disembunyikan di dalam beg,” katanya sambil menambah kes berkenaan kemudian dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura untuk siasatan lanjut.
Dalam kenyataan, ICA memaklumkan, pihaknya akan terus komited menjalankan peranan sebagai menjaga sempadan negara bagi memastikan keselamatan Singapura sambil mengekalkan kelancaran perjalanan dan perdagangan.
Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, bahan mengandungi mitragynine dan 7-hydroxymitragynine yang terdapat dalam daun ketum diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas A.
Mengimport bahan terlarang itu boleh membawa hukuman minimum penjara lima tahun dan lima sebatan jika disabitkan kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








