Lelaki Malaysia ditahan cuba seludup lebih 10kg dadah ke Singapura
SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Singapura selepas dipercayai cuba menyeludup lebih 10 kilogram (kg) dadah ke republik itu menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 1 Ogos lalu.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), pegawainya mengarahkan kenderaan yang dipandu suspek menjalani pemeriksaan lanjut sebelum menemui sebuah kotak mengandungi dua bungkusan bahan disyaki dadah di dalam but kereta.
Susulan penemuan itu, pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) dipanggil ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam but kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa merampas 8.646kg ganja dan 1.569kg methamphetamine atau syabu.
Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan melebihi S$361,000 (kira-kira RM1.2 juta) dan dipercayai mampu membekalkan bekalan kepada kira-kira 2,132 penagih selama seminggu.
ICA memaklumkan, kes tersebut kini disiasat oleh CNB bagi mengenal pasti rangkaian serta tujuan penyeludupan dadah berkenaan.
Di Singapura, individu yang didapati mengimport atau mengeksport lebih 250 gram syabu atau lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu pada Julai lalu, seramai 100 individu ditahan dalam operasi antidadah di seluruh Singapura yang turut menyaksikan rampasan dadah bernilai lebih S$34,000 (kira-kira RM113,000).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








