UMNO perlu jujur akui kegagalan tadbir urus Tabung Haji – KJ
KUALA LUMPUR – UMNO perlu jujur mengakui terdapat kelemahan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) antara 2014 hingga 2017, seperti yang didedahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan agensi itu.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pengakuan terhadap kelemahan berkenaan penting bagi menunjukkan kesungguhan parti itu melakukan reformasi dan proses pemulihan.
Beliau berkata, beliau memahami kenyataan beberapa pemimpin UMNO susulan penemuan RCI itu termasuk penafian mengenai kewujudan unsur penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, terutama ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Bagaimanapun, katanya, pendirian itu tidak memadai terutama ketika UMNO mahu dilihat sebagai parti yang membawa perubahan.
Baca juga : RCI: TH sepatutnya catat rugi RM1.4 bilion pada 2017, bukan untung RM3.4 bilion
“Saya tidak harap mereka ambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin untuk kempen pilihan raya, kita terpaksa cakap tidak ada sakau, kita beri hibah yang lebih dan kekalkan subsidi haji untuk muassasah dan sebagainya.
“Bagaimanapun, apa yang saya nak lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) (minggu depan), saya rasa sudah tiba masanya untuk (UMNO) jujur mengenai perkara itu dan katakan ada kegagalan tadbir urus.
“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya UMNO adalah sedikit bibit perubahan untuk bawa parti ke arah pemulihan sebab mereka mengaku.
“Kita faham masa (kempen PRN) Negeri Sembilan tidak boleh cakap tapi sekurang-kurangnya ada suara di PAU yang mengatakan kita tidak boleh guna alasan ini untuk sapu perkara ini di bawah karpet. Apa yang lemah, gagal dan salah, mestilah kita akui perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghoskan audio siar Keluar Sekejap, malam tadi.
Laporan RCI mengenai TH yang dinyahklasifikasikan minggu lalu mendedahkan kedudukan kewangan TH berada dalam keadaan kritikal pada 2017.
Ia berikutan kerugian dialami institusi yang menguruskan simpanan dan urusan haji bagi umat Islam Malaysia itu menokok kepada RM10 bilion sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan pelan pemulihan dengan kadar segera.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut menghoskan podcast berkenaan berkata, isu berkenaan menjadi peluang untuk UMNO menunjukkan kematangan dengan menginsafi kekurangan, terutama ketika gelombang sokongan kembali kepada parti itu.
Menurutnya, UMNO tidak boleh menjadikan peningkatan sokongan semasa sebagai alasan untuk tidak melakukan perubahan dalaman.
“UMNO tidak boleh mengambil gelombang sedia ada sebagai satu bukti bahawa tidak perlu melakukan reformasi, minta maaf dan perbaiki diri, dan hanya (menyatakan) sekadar retorik biasa kerana (menganggap) penyatuan Melayu dan segalanya sudah mencukupi. Ini soal kelestarian momentum politik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








