RCI: TH sepatutnya catat rugi RM1.4 bilion pada 2017, bukan untung RM3.4 bilion
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017 sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu.
Menurut TH dalam satu kenyataan, RCI turut mendapati penyata kewangan bagi tempoh tersebut tidak mematuhi sepenuhnya piawaian MFRS, selain penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) didapati tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset.
“RCI juga menyimpulkan pendekatan pengagihan keuntungan bagi tempoh 2014 hingga 2017 tidak mematuhi peruntukan undang-undang kerana agihan dibuat bukan sepenuhnya daripada keuntungan sebenar, sebaliknya turut melibatkan dana pendeposit.
“Laporan itu menyatakan amalan berkenaan memberi kesan kepada rizab kewangan TH dan menyebabkan jurang defisit aset-liabiliti meningkat daripada RM352 juta kepada RM4.093 bilion sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, RCI mengesyorkan agar agihan keuntungan hanya diumumkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus, berintegriti dan mematuhi piawaian perakaunan.
TH berkata, syor tersebut telah mula dilaksanakan sejak 2022, dengan agihan keuntungan kini diumumkan hanya selepas penyata kewangan diaudit.
Menurut TH, hasil reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko dan pengukuhan strategi pelaburan telah menunjukkan perkembangan positif apabila kadar agihan keuntungan meningkat daripada 3.10 peratus pada 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024, sebelum mencapai 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
TH menegaskan pencapaian itu mencerminkan komitmennya untuk mengurus simpanan lebih 9.8 juta pendeposit secara berhemat, telus dan mampan selaras dengan mandat institusi sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















