BERITA SEMASAPMX

Anwar hubungi Jokowi, zahir solidariti bencana gunung berapi, jerebu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Penang Peace Dialogue, pagi ini.

Anwar berkata, beliau turut menzahirkan solidariti kepada saudara-saudara di Indonesia susulan bencana gunung berapi serta cabaran jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.

Pada masa sama, Anwar turut memohon maaf kerana tidak dapat menyantuni mantan Presiden Indonesia itu secara langsung di Pulau Pinang kerana terpaksa menhadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang telah dijadualkan lebih awal.

“Pagi ini sebelum ke MAHA 2026, saya sempat hubungi sahabat lama yang juga Mantan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Penang Peace Dialogue.

“Saya zahirkan permohonan maaf kerana tidak dapat menyantuni Pak Jokowi secara langsung di sana berikutan rencana bersama golongan petani, penternak, peladang dan komuniti agro di MAHA 2026 yang telah dijadualkan lebih awal.

“Kami bertukar khabar dalam suasana penuh mesra, selain saya menzahirkan solidariti kepada saudara-saudara kita di Indonesia susulan bencana gunung berapi serta cabaran jerebu yang sedang dihadapi,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Anwar berkata, hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sekadar terikat sebagai negara jiran, malah kedua-dua negara merupakan bangsa serumpun yang mempunyai hubungan sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab.

Menurutnya, amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan serta rasa hormat antara kedua-dua negara akan terus kekal.

“Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi dua bangsa serumpun yang diikat sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab. Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal.

“Insya-Allah, ikatan ini akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta keamanan dan kemakmuran rantau,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button