Tahun Melawat Malaysia: RM935 juta diperuntukkan bagi pelancongan, budaya
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM935 juta diperuntukkan bagi pelancongan dan budaya susulan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu antaranya merangkumi geran galakan kepada penggiat industri untuk mempromosi dan menganjurkan acara pelancongan.
Beliau turut berkata, had pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong di Langkawi serta Labuan turut dinaikkan kepada RM10,000, tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam.
“Lebih banyak produk buatan Langkawi juga diberi pengecualian duti import, sekali gus menyokong usahawan setempat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut berkata, mutu kemudahan pelancongan akan ditingkatkan, termasuk prasarana jeti serta tapak warisan yang berpotensi diiktiraf UNESCO seperti Danum Valley di Sabah, Lembah Bujang di Kedah dan Taman Negara Pahang.
Dalam masa sama, seni, budaya dan warisan akan terus disemarakkan melalui penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA serta sokongan kepada penggiat budaya dan warisan seperti kraf tangan, tenun dan batik.
Sementara itu, bagi memperluas akses pelancong antarabangsa, Anwar berkata Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Carter disediakan untuk merintis laluan penerbangan terus baharu dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








