Kren terbalik hempap bumbung pusat jagaan, warga emas cedera
SEBERANG PERAI – Seorang warga emas cedera di kepala selepas sebuah kren terbalik sebelum menghempap bumbung asrama sebuah pusat jagaan warga emas di Permatang Tinggi, di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.38 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kren berkenaan dipercayai hilang kestabilan sebelum terbalik ketika diletakkan di atas permukaan tidak rata, lalu menghempap bumbung bangunan asrama pusat jagaan terbabit.
“Anggota kemudiannya menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian selain memasang sawar bagi mengawal pergerakan orang awam serta menghalang mereka memasuki kawasan larangan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 49 orang termasuk penghuni dan pekerja berada di pusat jagaan itu ketika kejadian.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum anggota bomba tiba di lokasi.
Operasi bomba ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.45 tengah hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








