Warga emas rugi lebih RM1.12 juta diperdaya sindiket menyamar pegawai pendakwa raya, BNM
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM1.12 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).
Mangsa berusia 63 tahun yang bekerja sendiri itu hanya menyedari dirinya diperdaya selepas hadir membuat semakan di balai polis sebelum tampil membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian bermula pada 4 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya pegawai pendakwa raya.
Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa kononnya terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada beberapa individu lain yang menyamar sebagai pegawai BNM.
“Akibat panik dan percaya dengan dakwaan tersebut, mangsa dipengaruhi suspek untuk membuka sebuah akaun bank khas yang kononnya digunakan bagi membantu proses siasatan.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang simpanannya ke akaun yang diberikan atas alasan bagi tujuan pengesahan dan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara Mac hingga Mei lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 51 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM1,125,000.
Menurutnya, mangsa turut diarahkan membuat beberapa bayaran tambahan yang didakwa bagi tujuan siasatan, jaminan mahkamah dan pemprosesan dokumen.
“Hanya selepas hadir membuat semakan dengan pihak polis, mangsa menyedari bahawa dirinya telah menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















