Penjaga warga emas mampu raih pendapatan hingga RM15,000 sebulan
IPOH – Bidang penjagaan warga emas kini dilihat semakin berpotensi sebagai kerjaya berpendapatan tinggi apabila peserta program latihan di bawah inisiatif Santunan Kasih berjaya memperoleh pendapatan bulanan antara RM7,000 hingga RM15,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, perkembangan itu membuktikan bidang penjagaan warga emas mampu berkembang sebagai kerjaya profesional yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi peserta.
“Setakat ini, kita beri sijil tamat latihan sahaja. Belum ada akreditasi yang betul sebab tiada satu badan yang boleh mengiktiraf termasuk peringkat persekutuan.
“Tapi dengan sijil itu, kita melihat mereka dapat menawarkan perkhidmatan dengan bayaran yang saya pun sebenarnya agak terkejut apabila ada peserta mendapat pendapatan bulanan RM7,000 hingga RM15,000,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Santunan Kasih 2026 di sini, malam tadi.
Menurut beliau, seramai 356 individu telah mengikuti latihan menerusi Program TVET Kursus Kaigo Lite: The Essence of Caregiving dan Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional sejak ia diperkenalkan pada 2023.
Dalam perkembangan sama, Salbiah berkata, kerajaan negeri sedang meneliti langkah untuk mengekalkan tenaga kerja terlatih di Perak berikutan ramai peserta memilih bekerja di negeri lain meskipun permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas di negeri itu terus meningkat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








