JENAYAH & MAHKAMAH

Gagal bayar ikat jamin, warga emas dipenjara atas pertuduhan cabul peniaga wanita

BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas terpaksa ditempatkan di penjara sebagai tahanan sementara selepas gagal membayar ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Majistret, di sini hari ini, berhubung pertuduhan mencabul seorang peniaga wanita dalam kejadian tahun lalu.

Tindakan itu diambil selepas tertuduh, Lau Chit Seng, 62, yang hidup sebatang kara memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar ikat jamin berjumlah RM3,000.

Sebelum itu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa melakukan perbuatan mencabul di sebuah kedai tom yam di Tongkang Pechah, di sini pukul 11 malam pada 10 November tahun lalu, memetik laporan Metro Online.

Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa ketika itu sedang makan bersama anak perempuannya di kedai berkenaan sebelum bangun untuk membuat bayaran.

Tertuduh yang berada di sebelah mangsa kemudian didakwa melakukan perbuatan mencabul.

Kejadian itu turut disaksikan anak mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button