Tiga calon PH di Batu Pahat tekad pikul amanat PM santuni rakyat, tolak salah guna kuasa
BATU PAHAT – Tiga calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di bawah Parlimen Batu Pahat berikrar akan memikul amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus bekerja keras menyantuni rakyat serta menolak amalan mengumpul kekayaan melalui jawatan.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, beliau bersama calon DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling dan calon DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri menghargai kesudian Anwar turun berkempen bagi memberi sokongan kepada mereka.
“Alhamdulillah, program bersama Perdana Menteri berjalan lancar. Kami bertiga mengucapkan terima kasih kepada PMX yang sanggup datang ke Johor untuk bersama-sama menyantuni penyokong dan pengundi di DUN Senggarang, Penggaram dan Rengit.
“Kami juga berterima kasih kepada Menteri Komunikasi yang turut hadir memberikan sokongan kepada kempen kami,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi DUN Senggarang, di isni hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menyeru pengundi di Johor memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan masih terdapat banyak isu rakyat yang belum diselesaikan.
Perdana Menteri berkata, antara isu utama yang perlu diberi perhatian termasuk kos rumah yang semakin mahal, bantuan kepada golongan susah serta keperluan asas rakyat yang memerlukan pendekatan lebih berkesan.
Baca juga : PRN: Anwar seru pengundi Johor beri peluang PH tadbir, tekankan tatakelola baik
Susulan itu, Onn berkata, amanat yang disampaikan Anwar menjadi peringatan kepada semua calon supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.
“Saya lihat mesej Perdana Menteri jelas, wakil rakyat perlu bekerja kuat, jangan menyakau dan jangan kumpul harta bertimbun-timbun.
“Sebaliknya, wakil rakyat perlu turun padang, menyantuni rakyat dan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya.
Beliau berkata, masih ramai rakyat termasuk orang Melayu dan Cina yang berdepan kesukaran hidup dan memerlukan pembelaan daripada pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi mereka.
Sehubungan itu, katanya, beliau bersama Felicia dan Mohamad Yazid berazam untuk meneruskan amanat tersebut dengan memberi tumpuan kepada kebajikan penduduk di DUN Senggarang, Penggaram dan Rengit sekiranya diberi mandat pada PRN Johor kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















