Polis siasat kes bendera, bahan kempen PH dirosakkan di DUN Mengkibol
KLUANG – Polis membuka kertas siasatan susulan kejadian merosakkan bendera dan papan gambar calon Pakatan Harapan (PH) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, di sini, semalam.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan kejadian di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman itu dibuat oleh pengadu pada pukul 10.30 pagi.
Jelas Bahrin, pengadu menerima maklumat itu daripada ketua pasukan kempen yang menyatakan beberapa bendera dan papan gambar calon PH dicabut, dibuang ke dalam longkang dan dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati 10 bendera parti dan tiga papan gambar calon mengalami kerosakan,” katanya.
Sementara itu, calon PH bagi DUN Mengkibol, Chu Poh Yee, mengecam tindakan merosakkan bendera dan bahan kempen parti, sambil menyeru semua pihak berkempen secara matang sepanjang PRN Johor.
“Bendera boleh tumbang, tetapi nilai hormat jangan sesekali hilang. Di sebalik setiap bendera, ada usaha sukarelawan yang bekerja keras. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi merosakkan hasil usaha orang lain bukan caranya.
“Kalau ada penyokong saya yang melakukan perkara sama kepada pihak lain, saya juga akan mengecamnya,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya semalam.
Dalam pada itu, Bahrin berkata, pihaknya sedang mengesan pihak terbabit dalam perbuatan khianat itu dan meminta orang ramai mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Semalam, calon PH bagi DUN Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani membuat laporan polis selepas bendera gabungan parti itu didapati dibakar di hadapan laluan masuk ke Gugusan FELDA Adela, Kota Tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











