KPK, PORAM perkukuh kerjasama pacu industri sawit Malaysia
KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) dan pemain industri bagi meningkatkan daya saing sektor hiliran sawit negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha memperkukuh sektor hiliran perlu dipacu menerusi inovasi serta penghasilan produk bernilai tambah tinggi bagi memastikan industri sawit Malaysia terus berdaya tahan dan kompetitif di pasaran global.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan PORAM 2026 di Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin.
Menurut beliau, prestasi eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan nilai RM112.51 bilion pada 2025, meningkat daripada RM109.39 bilion pada 2024.
“Kerjasama erat antara KPK, PORAM dan pemain industri amat penting dalam memastikan industri sawit negara terus berkembang secara mampan, selain meningkatkan nilai tambah produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
KPK turut memberi penekanan terhadap aspek kemampanan dan kebolehjejakan rantaian bekalan bagi memastikan minyak sawit Malaysia kekal dipercayai serta berdaya saing di pasaran global.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ahli PORAM Berkhidmat Lama sebagai penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan penerima kepada PORAM serta industri sawit negara.
KPK berkata, pengiktirafan itu mencerminkan sumbangan berterusan pemain industri dalam memperkukuh sektor sawit Malaysia yang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







