BERITA SEMASA

Kejayaan agrikomoditi mesti dirasai pekebun kecil – Noraini

SARIKEI – Kejayaan sektor agrikomoditi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah pengeluaran atau nilai eksport, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, kos yang lebih terkawal serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha memastikan manfaat sektor berkenaan sampai kepada masyarakat merupakan antara tumpuan utama kerajaan, khususnya kepada pekebun kecil yang menjadi penggerak penting rantaian agrikomoditi negara.

noraini
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – Foto KPK

“Bagi saya, kejayaan sektor agrikomoditi bukan hanya diukur melalui jumlah pengeluaran atau nilai eksport. Kejayaan itu mesti dapat dirasai melalui pendapatan yang lebih baik, kos yang lebih terkawal dan peluang yang lebih luas kepada masyarakat.

“Jika pekebun kecil terus bekerja keras tetapi nilai terbesar dinikmati oleh pihak lain dalam rantaian, kita masih belum mencapai kejayaan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Karnival Agrikomoditi MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Sentral Sarikei, di sini hari ini.

Menurut Noraini, kehidupan masyarakat di Sarikei dan kawasan sekitarnya begitu dekat dengan sektor agrikomoditi apabila sebahagian mereka mengusahakan tanaman sawit, getah, lada dan koko.

Katanya, terdapat juga masyarakat yang menjana pendapatan menerusi aktiviti pemprosesan, pengangkutan, pemasaran serta perusahaan kecil berasaskan hasil tempatan.

“Apabila saya melihat sebuah kebun, saya tidak hanya melihat pokok atau hasil yang akan dituai.

“Saya melihat sebuah keluarga yang bergantung kepada hasilnya. Saya melihat ibu bapa yang membesarkan anak-anak daripada pendapatan kebun,” katanya.

Noraini berkata, di sebalik setiap kebun turut terdapat usaha yang diwarisi daripada generasi terdahulu, tanah yang dipelihara selama bertahun-tahun serta harapan agar ia terus menjadi sumber rezeki keluarga.

Beliau berkata, meskipun kebanyakan usaha itu bermula daripada kebun berskala kecil, hasilnya apabila dihimpunkan mampu menggerakkan ekonomi masyarakat dan menyumbang kepada kekuatan sektor agrikomoditi negara.

Sehubungan itu, beliau berkata kehadirannya ke Sarikei bukan sekadar untuk merasmikan karnival, tetapi turut bertujuan mendengar pengalaman masyarakat serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pekebun kecil dan pengusaha.

“Paling penting, saya mahu memastikan program dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Noraini berkata, penganjuran Karnival Agrikomoditi MADANI juga memberi peluang kepada masyarakat untuk berhubung secara langsung dengan pegawai dan agensi berkaitan.

Katanya, melalui program itu, pekebun dan pengusaha boleh mendapatkan penerangan, mengemukakan pertanyaan serta mengetahui peluang dan bantuan yang tersedia.

“Pada masa yang sama, kami juga datang untuk mendengar. Kami mahu mengetahui keadaan sebenar di kebun. Kami mahu memahami beban pekebun kecil dan bantuan yang benar-benar diperlukan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button