KPK bawa pendekatan turun padang, suara pekebun kecil jadi asas dasar agrikomoditi
SARIKEI – Dasar agrikomoditi negara tidak seharusnya hanya dibentuk berdasarkan angka pengeluaran dan nilai eksport, sebaliknya perlu bermula daripada realiti kehidupan pekebun kecil yang menjadi tunjang rantaian sektor berkenaan.
Pendekatan turun padang yang dibawa Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Karnival Agrikomoditi MADANI di Sarikei, Sarawak menjadi ruang penting untuk mendengar sendiri suara masyarakat, mengenal pasti cabaran serta mencari penyelesaian yang lebih dekat dengan keperluan golongan pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hasil daripada kebun kecil mungkin kelihatan sederhana, namun apabila dihimpunkan, ia menjadi antara penggerak penting ekonomi masyarakat dan kekuatan sektor agrikomoditi negara.

“Usaha itu mungkin bermula daripada sebuah kebun kecil, namun apabila dihimpunkan, hasil titik peluh inilah yang menggerakkan ekonomi masyarakat dan menyumbang kepada kekuatan sektor agrikomoditi negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Agrikomoditi MADANI KPK di Dewan Sentral Sarikei, Jumaat lalu.
Menurut Noraini, kejayaan sektor agrikomoditi tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan jumlah pengeluaran atau nilai eksport, sebaliknya perlu dilihat daripada sejauh mana ia mampu meningkatkan pendapatan pekebun, mengawal kos serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas.
“Jika pekebun kecil terus bekerja keras tetapi nilai terbesar dinikmati oleh pihak lain dalam rantaian, kita masih belum mencapai kejayaan yang sebenar,” katanya.
Cabaran di akar umbi perlu ditangani
Hakikatnya, pekebun kecil berdepan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan produktiviti dan pendapatan mereka, termasuk peningkatan kos input serta bahan api, tanaman yang semakin tua, kekurangan tenaga kerja, perubahan cuaca dan serangan penyakit.
Masalah logistik serta kesukaran membawa hasil ke pasaran turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan langsung terhadap pendapatan pengusaha di kawasan luar bandar.

Justeru, Noraini menegaskan pendekatan bantuan kepada pekebun kecil perlu diperluas dan tidak hanya tertumpu kepada pemberian peralatan atau insentif.
Sebaliknya, ia perlu merangkumi khidmat nasihat, latihan, penggunaan teknologi, kemudahan asas serta akses kepada pasaran.
Teknologi dan mekanisasi juga perlu diperkasa bagi mengurangkan beban kerja, menjimatkan masa serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia.
BUDI Agri-Komoditi bantu ringankan beban
Dalam usaha memperkukuh kebajikan pekebun kecil, kerajaan turut menyediakan Program BUDI Agri-Komoditi yang menawarkan sumbangan tunai RM400 sebulan kepada pekebun kecil sektor sawit, getah, koko, lada dan kenaf yang berdaftar dengan agensi di bawah KPK serta memenuhi syarat ditetapkan.
Kerajaan pada 22 Jun lalu turut mengumumkan perluasan program berkenaan kepada petani dan pekebun kecil di Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan rekod sehingga Jun 2026, seramai 93,819 individu di Sarawak dikenal pasti layak memohon bantuan itu, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Langkah tersebut memperlihatkan usaha kerajaan untuk memastikan golongan yang berada di barisan hadapan pengeluaran agrikomoditi tidak terpinggir daripada manfaat pembangunan sektor berkenaan.
Lada Sarawak: Nilai ekonomi dan warisan
Dalam konteks Sarawak, industri lada pula mempunyai kedudukan tersendiri, bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga identiti negeri.
Lada Sarawak telah didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi pada 2003, sekali gus memberikan perlindungan terhadap nama, identiti dan asal usul produk berkenaan.

Noraini berkata, industri lada menyumbang kira-kira RM2.27 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025, meningkat 1.4 peratus berbanding RM2.24 bilion pada tahun sebelumnya.
Namun di sebalik angka itu, terdapat kira-kira 39,000 pekebun kecil yang menjadi penggerak utama industri berkenaan.
“Merekalah yang mempertahankan mutu dan membina nama Lada Sarawak sehingga dikenali dunia,” katanya.
Skuad Agrikomoditi jadi penghubung KPK
Bagi memastikan pendekatan turun padang dapat diteruskan secara lebih tersusun, KPK turut melancarkan Skuad Agrikomoditi Sarikei.
Skuad itu diharap berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kementerian serta menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat di lapangan.
Antara peranannya ialah menyampaikan maklumat mengenai bantuan kepada pekebun kecil, menghubungkan golongan muda dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan latihan atau memulakan perusahaan serta membawa isu dan permasalahan masyarakat kepada perhatian kementerian.
“Skuad ini mesti menjadi jambatan dua hala supaya maklumat Kerajaan sampai kepada masyarakat dan suara masyarakat sampai kepada Kementerian,” katanya.
Anak muda perlu dibawa masuk
Pada masa sama, masa depan sektor agrikomoditi memerlukan penyertaan generasi baharu bagi memastikan sektor itu terus berkembang dan tidak bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja tradisional.
Noraini berkata, sektor agrikomoditi perlu bergerak seiring perubahan zaman dengan membuka lebih banyak peluang dalam teknologi, mekanisasi, penyelidikan, pemasaran digital, pembangunan produk dan keusahawanan.
Pendekatan ini penting bagi mengubah persepsi bahawa agrikomoditi hanya berkisar kepada aktiviti di kebun, sebaliknya ia merupakan rantaian ekonomi yang luas dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya serta perniagaan.
Karnival Agrikomoditi MADANI di Sarikei, dalam konteks lebih besar, bukan sekadar program kementerian bertemu masyarakat, tetapi mencerminkan usaha membawa dasar kerajaan lebih dekat dengan denyut nadi pekebun kecil.
Dengan suara masyarakat dijadikan sebahagian daripada input pembentukan dasar, sektor agrikomoditi diharap bukan sahaja terus menyumbang kepada ekonomi negara, malah mampu meningkatkan kesejahteraan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang industri berkenaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Ketua Setiausaha KPK, Dato Tuaran Shah Mohd Yusof; Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili dan Timbalan Ketua Setiausaha KPK, Shafie Taib.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








