BERITA SEMASA

Lebih 4,300 pekebun kecil terima manfaat TSPKS 2.0

PUTRAJAYA – Seramai 4,364 pekebun kecil persendirian telah menerima manfaat Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) sehingga 30 Jun lalu, membabitkan pembiayaan berjumlah RM190.13 juta meliputi kawasan penanaman seluas 12,145.51 hektar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program itu bertujuan membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi bagi meningkatkan produktiviti ladang, hasil pengeluaran dan pendapatan mereka.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan TSPKS 2.0, merangkumi RM100 juta pada 2024, RM50 juta pada 2025 dan RM50 juta pada tahun ini.

“Daripada peruntukan tahun 2026, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil sehingga 30 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.

Bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus setahun menjelang 2030, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperluaskan pelaksanaan TSPKS 2.0

“Pada masa yang sama, KPK akan turut menggalakkan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, memperkasakan peranan Pegawai TUNAS Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam sektor perladangan,” katanya lagi.

Beliau kenudiannya menambah, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) juga akan terus diperkukuh bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan daya saing industri.

“Penanaman semula merupakan pelaburan penting bagi memastikan hasil yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih baik serta kelangsungan industri sawit negara.

“Sehubungan itu, KPK komited memastikan industri sawit kekal produktif, berdaya saing dan mampan di samping meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button