Op Lusuh: MCMC, PDRM tumpaskan sindiket curi aset telekomunikasi di Sarawak
KUCHING – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri menerusi Operasi Bersepadu Op Lusuh yang dilaksanakan pada 18 hingga 19 Jun 2026 di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.
MCMC berkata, dalam operasi tersebut, sebuah premis di Kota Samarahan yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan telah diserbu.
“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan telekomunikasi, termasuk bateri stesen pemancar dan Remote Radio Unit (RRU), yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi serta disyaki diperoleh secara tidak sah,” menurut kenyataan MCMC.
Dua individu turut ditahan oleh PDRM bagi membantu siasatan manakala semua peralatan yang ditemui telah disita sebagai bahan bukti.
“Kecurian dan vandalisme terhadap aset telekomunikasi bukan sahaja merupakan satu kesalahan jenayah malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna, termasuk perkhidmatan penting yang bergantung
kepada rangkaian telekomunikasi, tambah MCMC.
Mana-mana pihak yang didapati bersalah berdepan tindakan tegas di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
MCMC menegaskan, bahawa operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara MCMC, PDRM Kontinjen Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta agensi penguatkuasaan berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan infrastruktur telekomunikasi negara.
Beliau berkata, kerjasama strategik itu akan terus diperkukuh bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan.
Katanya, orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan aset telekomunikasi bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








