BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua kejadian samun berparang di Nilai, wanita cedera

NILAI – Dua kejadian samun bersenjata dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar Bandar Baru Nilai dan kawasan Rumah Rakyat Nilai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Johari Yahya berkata, kedua-dua kejadian tersebut melibatkan suspek bermotosikal yang bersenjatakan pisau dan parang.

Menurutnya, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada pukul 1.10 pagi di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan BBN 1/2F, Bandar Baru Nilai.

“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal, dengan salah seorang suspek bersenjatakan pisau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek bertindak mengugut mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an sebelum seorang lagi suspek mengambil wang tunai dianggarkan RM600 serta beberapa karton rokok pelbagai jenama dan melarikan diri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian kedua pula berlaku pada pukul 9.48 malam di kawasan Rumah Rakyat Nilai melibatkan mangsa wanita berusia 50-an.

Katanya, dalam kejadian itu, tiga lelaki tidak dikenali menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang mengugut mangsa sebelum melarikan barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai, kad bank dan barang kemas.

“Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan ketika mempertahankan begnya, dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2,000,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button