Lelaki rugi lebih RM624,000 akibat penipuan pelaburan dalam talian
GEORGETOWN – Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun kerugian sebanyak RM624,617 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang menggunakan aplikasi dikenali sebagai ‘XGI Horizon’.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyelia stor di Batu Kawan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan pada 21 Julai lalu selepas menyedari dirinya telah ditipu.
“Pada awal Februari lalu, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi melalui aplikasi Facebook dan kemudian mula berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai lelaki melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi XGI Horizon, mendaftar sebagai ahli dan memulakan pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Hamzah, antara 18 Februari hingga 24 April tahun ini, mangsa telah membuat sebanyak 31 transaksi kemasukan wang ke dalam 10 akaun bank berbeza milik beberapa syarikat.
Tambahnya, mangsa mula curiga apabila cuba membuat pengeluaran keuntungan tetapi diminta membuat bayaran tambahan terlebih dahulu sebelum pengeluaran dapat dilakukan.
“Mangsa kemudiannya menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hamzah menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian, khususnya yang dipromosi melalui media sosial.
“Semakan terlebih dahulu boleh dibuat dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu terbabit mempunyai kebenaran sah untuk menawarkan sebarang produk pelaburan.
“Portal ‘Semak Sebelum Lebur’ juga boleh dirujuk sebagai langkah keselamatan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, pencegahan penipuan atas talian memerlukan kerjasama semua pihak dan masyarakat perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat berkaitan modus operandi terkini penipuan supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.
“Polis dan masyarakat berpisah tiada. Marilah kita bersama membina komuniti yang celik jenayah serta bebas daripada ancaman scammer,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








