JSJK dedah modus operandi baharu sindiket penipuan belian dalam talian
KUALA LUMPUR – Pihak polis mengesan peningkatan ketara dalam kes penipuan pembelian dalam talian, dengan taktik sindiket yang dilihat semakin licik memperdayakan mangsa menerusi pelbagai platform media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata,sindiket berkenaan dikesan menggunakan modus operandi (MO) yang sangat teratur bagi menjerat mangsa yang terpedaya dengan tawaran barangan di bawah harga pasaran.
“Sindiket penipuan ini dikesan memulakan jerat mereka dengan memaparkan iklan yang sangat menarik di pelbagai media sosial dan platform dalam talian.
“Mereka menawarkan harga yang terlalu murah dan tidak masuk akal bersama tawaran-tawaran menarik lain semata-mata untuk memancing perhatian mangsa,” katanya, memetik laporan Buletin TV3, hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan kronologi penipuan, Rusdi berkata, bagi memerangkap mangsa yang tertarik dengan iklan terbabit, suspek akan bertindak agresif dengan membalas mesej secara serta-merta selain mengemukakan maklumat produk demi meraih kepercayaan mereka.
“Komunikasi yang digunakan oleh suspek adalah sangat mesra pelanggan bagi membina kepercayaan dalam tempoh yang singkat.
“Selepas mangsa mula percaya, mereka akan diminta untuk melakukan pindahan wang dengan segera ke akaun bank yang diberikan atas alasan bagi mengelakkan barang tersebut kehabisan stok,” katanya.
Menurutnya, selepas bayaran berjaya dilakukan mangsa, taktik penipuan sebenar akan bermula di mana suspek akan memberikan resit atau nombor pengesanan (tracking number) palsu bagi meredakan kebimbangan mangsa buat seketika.
“Apabila mangsa mula bertanyakan tentang status barang selepas tempoh tertentu, suspek akan mula memberikan pelbagai alasan seperti masalah stok atau kelewatan penghantaran.
“Kemuncak kepada penipuan ini adalah apabila suspek bertindak menghilangkan diri dan menyekat (block) nombor telefon serta media sosial mangsa sepenuhnya, meninggalkan mangsa tanpa sebarang talian untuk dihubungi,” katanya.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak berlengah dan segera bertindak sekiranya menyedari diri mereka menjadi mangsa penipuan belian dalam talian ini.
Katanya, tindakan pantas menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh kurang 24 jam adalah amat kritikal.
” Pelaporan segera memberikan peluang yang lebih tinggi kepada pihak bank dan pihak berkuasa untuk mengesan aliran kewangan serta menyekat akaun bank milik penipu (keldai akaun), sekali gus meningkatkan kebarangkalian wang mangsa untuk diselamatkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















