Dua kali ditipu, pesara jurutera rugi lebih RM100,000
ALOR SETAR – Seorang pesara jurutera menanggung kerugian besar apabila bukan sahaja pernah menjadi mangsa penipuan, malah turut diperdaya sindiket yang kononnya menawarkan bantuan mendapatkan semula wang, sehingga kerugian melebihi RM100,000.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Deputi Superintendan Jasmani Sabrini berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 54 tahun yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan pada 11 Januari lalu.
Menurutnya, kejadian bermula apabila pengadu melayari Facebook (FB) dan tertarik dengan satu iklan berbunyi ‘Anda adalah mangsa scam sila hubungi kami’ pada 16 Mei tahun lalu kira-kira jam 3 petang.
“Pengadu kemudian menekan pautan iklan tersebut dan meninggalkan nama serta nombor telefon sebelum dimasukkan ke dalam aplikasi WhatsApp.
“Pengadu diminta mengisi butiran peribadi bagi tujuan permohonan dan sebelum permohonan diproses, dia diminta membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu untuk membuka fail,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jasmani berkata, pengadu kemudiannya melakukan beberapa transaksi pindahan wang secara dalam talian daripada akaun miliknya ke beberapa akaun bank berlainan antara 28 Mei hingga 18 Jun tahun lalu.
Menurutnya, transaksi berkenaan melibatkan lapan pindahan wang ke atas nama individu serta syarikat berbeza, dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM108,001.
Beliau berkata, sehingga laporan dibuat, pihak terbabit masih meminta bayaran tambahan dengan alasan bagi mendapatkan semula wang milik pengadu.
“Hasil siasatan mendapati pengadu pernah menjadi mangsa scammer sebelum ini dan tiga kertas siasatan telah dibuka, masing-masing satu di Sungai Petani dan dua di Padang Serai, Kulim berkaitan kes pinjaman wang tidak wujud,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmani menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan iklan-iklan atas talian yang menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula wang daripada scammer.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau balai berhampiran sebelum melakukan sebarang transaksi yang mencurigakan,” katanya.
Menurutnya, semakan turut boleh dibuat menerusi aplikasi Semak Mule, Facebook JSJK PDRM atau dengan menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








