BERITA SEMASA

Pemandu Triton pandu berbahaya positif dadah, miliki 17 rekod jenayah lampau

SEBERANG JAYA – Pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren yang tular selepas dipercayai memandu secara melulu di sekitar Seberang Jaya hari ini didapati mempunyai 17 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek lelaki berusia 29 tahun itu ditahan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 10.05 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan berkenaan.

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Lebuhraya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) berhadapan stesen minyak Caltex Seberang Jaya sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi.

“Pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat 2.38 gram.

“Hasil saringan urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan morphine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Nahas maut empat sekeluarga di Kluang, remaja 19 tahun ditahan reman

Tambah beliau, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan berkaitan kemalangan jalan raya dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan.

Sementara itu, Nik Aminuddin berkata pihaknya sedang mengesan semua mangsa serta saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button