JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Singapura dalang klon kad debit ditahan

AYER KEROH – Tindakan licik seorang warga Singapura mengklon kad debit untuk pasaran gelap di Jepun terbongkar apabila dia diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Tengkera, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.15 tengah hari, Khamis lalu hasil maklumat risikan berterusan sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas satu set komputer, empat telefon bimbit, mesin pemotong laser, alat pistol pemanas, dua keping kad visa debit Bank of Monaco, 227 keping kad visa debit Joint Development Bank Laos, mesin pengimbas kad debit, wang tunai SGD$3,378 (RM11,232.86) serta RM5,500,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Menurut Dzulkhairi, siasatan awal mendapati suspek menyewa unit kondominium berkenaan sejak Januari lalu untuk memproses kad debit palsu.

“Suspek bergerak secara solo dan menerima bekalan kad debit Joint Development Bank (Laos) melalui kurier daripada pihak ketiga.

“Dia kemudian meniru data kad itu dan mencetak pada kad debit kosong menggunakan mesin laser.

“Setelah cetakan dibuat, suspek akan menampal cip serta jalur magnetik dan menukar jenis kad debit kepada kad premium atau platinum,” katanya lagi.

Tambah beliau, suspek turut dilengkapi peralatan lengkap termasuk mesin pembaca kad dan terminal pembayaran untuk menguji kad yang telah diproses.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui beberapa kad debit siap diproses antaranya kad debit premium berwarna hitam atas nama Bank of Monaco, kad debit platinum berwarna perak atas nama Acseed, serta kad debit platinum berwarna perak atas nama AC Bank.

“Pemilik kad berkenaan dipercayai warganegara Jepun dan kita percaya semua kad ini akan dihantar ke Jepun melalui penghantaran kurier,” jelasnya lagi.

Dzulkhairi berkata, suspek menerima bayaran bulanan sebanyak SGD$3,800 (RM12,633.14) bagi kegiatan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan menipu, Seksyen 424A KK kerana memiliki alat pembayaran tanpa kuasa sah serta Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit.

“Suspek telah direman lima hari bermula 24 April lalu dan kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button