BERITA SEMASA

Stok makanan negara stabil, mampu bertahan 6 bulan

KUALA LUMPUR – Tahap keterjaminan makanan serta kapasiti simpanan bekalan sedia ada negara buat masa ini mencukupi sehingga tempoh enam bulan akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu tiada keperluan bagi kerajaan untuk melaksanakan sebarang langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan asas sentiasa berada pada paras yang mencukupi dan terkawal.

“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu sebab dari segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan mencukupi.

“Sekurang-kurangnya dari segi keterjaminan makanan, kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan keperluan asas rakyat dan mereka yang berada di Malaysia ini, termasuk barangan keperluan harian, mencukupi.

“Kita tidak berada dalam keadaan darurat dan insya Allah, masih jauh daripada situasi sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia – China Dalam Pelaburan, Perdagangan & Pemerkasaan Ekonomi, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa berhubung 33 negara di seluruh dunia dikenal pasti telah mengeluarkan panduan menggalakkan rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan.

Langkah itu diambil susulan dunia kini berdepan pelbagai ancaman, termasuk konflik peperangan, cuaca ekstrem, gangguan bekalan elektrik dan serangan siber.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button