POLITIK

MoU peruntukan pembangkang: Kerajaan sentiasa buka ruang perbincangan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa terbuka dan membuka ruang kepada blok pembangkang untuk mencapai kata sepakat dalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan ahli Parlimen daripada blok berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pintu rundingan masih terbuka supaya perkara terbabit dapat dipersetujui semua pihak.

“Jalinan kerjasama yang harmoni amat penting memandangkan semua ahli Parlimen punyai tanggungjawab besar dan memainkan peranan penting dalam semak dan imbang perkara berkaitan dengan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.

Fadillah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai punca penolakan pembangkang terhadap MoU peruntukan Parlimen dan perbezaan perjanjian sekarang dengan era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri.

Fadillah menjelaskan, penyediaan draf MoU mendapat maklum balas dan persetujuan daripada semua wakil Whip parti gabungan yang membentuk kerajaan MADANI sebelum dikemukakan kepada Ketua Whip Pembangkang secara rasmi, 1 Ogos lalu.

“Namun, tanpa sebarang maklum balas terus kepada kerajaan, pihak pembangkang sebaliknya membuat kenyataan media pada 14 September 2024 untuk menolak draf MoU yang dikemukakan itu atas alasan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai tempatan; tidak mempunyai mekanisme jelas yang boleh membuka ruang kepada berlakunya pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara sebelah pihak dan mengongkong kebebasan bersuara ahli parlimen,” katanya.

Katanya, tindakan itu jelas berbeza ketika zaman pentadbiran Ismail Sabri apabila MoU itu berjaya dimeterai kerajaan bersama pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah ketua pembangkang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button