171 aset ATM berusia lebih 30 tahun – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Terdapat 171 aset yang sudah melebihi 30 tahun perkhidmatan dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, angka itu membabitkan 108 unit bagi tentera darat, 29 unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Secara asasnya, had usia guna aset-aset ketenteraan adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut menjelaskan, laporan lengkap mengenai punca kemalangan dan jumlah kerugian yang dihadapi selepas KD Pendekar milik TLDM tenggelam pada 25 Ogos lalu, hanya boleh ditentukan setelah siasatan rapi selesai.
Beliau berkata, kementerian menerusi TLDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi menyiasat kemalangan yang menimpa kapal tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu masih perlu diperhalusi dengan lebih lanjut melalui penyiasatan fizikal ke atas kapal setelah diapungkan.
“Dalam hal ini, TLDM sedang melaksanakan kerja salvaj ke atas kapal itu selain mengenal pasti dan memastikan kesemua peralatan di dalam kapal berada dalam keadaan baik serta tidak hilang.
“Berdasarkan laporan terkini, kapal tersebut telah berjaya diapungkan dan kini berada di Yard Tanjung Belungkor,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








