BERITA SEMASA

RM14.79 bilion dikeluarkan melalui Akaun Fleksibel KWSP

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4.63 juta ahli telah mengeluarkan simpanan berjumlah RM14.79 bilion sejak Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperkenalkan pada Mei tahun lalu.

Kementerian Kewangan memaklumkan jumlah itu mewakili kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli KWSP berumur bawah 55 tahun setakat 30 Jun lalu.

Shahidan Kassim

“Baki keseluruhan simpanan Akaun Fleksibel setakat tarikh tersebut adalah RM10.16 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau).

Shahidan dalam soalannya meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang membenarkan pemindahan 30 peratus simpanan Akaun 1 ke Akaun 3 untuk tujuan Pengeluaran Khas KWSP 2025.

Menurut kementerian, pengeluaran daripada Akaun Persaraan (Akaun 1) hanya dibenarkan ketika pandemik COVID-19 dan langkah itu bersifat sementara.

“Mandat utama KWSP adalah memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli. Cadangan pengeluaran Akaun 1 untuk menangani kos sara hidup tidak selaras dengan mandat tersebut,” jelas kenyataan itu.

Kementerian turut menyatakan, mulai Mei 2024, KWSP menyusun semula akaun ahli kepada tiga kategori iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).

“Akaun 3 ini membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa, termasuk ketika kecemasan.

“Kerajaan turut menegaskan bantuan tunai, subsidi bersasar dan insentif khas akan terus disalurkan bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button