BERITA SEMASABISNES & EKONOMIINISIATIF KERAJAAN

Malaysia komited pimpin ASEAN kurangkan halangan bukan tarif untuk bantu PMKS serantau

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memimpin ASEAN mengurangkan halangan bukan tarif (non-tariff barriers) bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkembang di rantau ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ASEAN kekal komited untuk memastikan manfaat perdagangan dapat dinikmati secara inklusif oleh semua negara anggota termasuk pemain industri berskala kecil.

“Beberapa langkah strategik telah dan sedang diambil bagi mencapai matlamat ini termasuk memperkukuh mekanisme penyelarasan teknikal, meningkatkan ketelusan peraturan perdagangan serta mempercepatkan proses kastam dan pensijilan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, antara inisiatif utama ASEAN termasuk penubuhan Coordinating Committee on the Implementation of the ASEAN Trade in Goods Agreement (CCA) dan ASEAN Trade Facilitation Joint Consultative Committee (ATF-JCC) bagi memastikan pelaksanaan komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) berjalan lancar.

“Selain itu, pelaksanaan ASEAN Single Window (ASW) iaitu platform digital serantau yang menghubungkan sistem National Single Window (NSW) setiap negara anggota membolehkan pertukaran dokumen perdagangan seperti sijil tempasal elektronik (e-Form D) dilaksanakan dengan lebih pantas, selamat dan telus,” katanya.

Tambah beliau, dalam masa sama, ASEAN turut menyediakan Guidelines for the Implementation of ASEAN Commitments on Non-Tariff Measures on Goods bagi meningkatkan ketelusan dan pelaporan berkala melalui ASEAN Trade Repository yang membolehkan setiap langkah bukan tarif dipantau secara terbuka oleh pihak berkepentingan.

Malah katanya, mekanisme Mutual Recognition Arrangement (MRA) juga sedang diperluas bagi membolehkan produk yang telah dinilai dan disahkan di negara asal tidak perlu melalui proses ujian atau pensijilan berulang di negara pengimport.

“Naik taraf terhadap Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) turut memperkukuh aspek seperti fasilitasi prosedur kastam, pematuhan teknikal dan sanitari serta pemudah cara perdagangan.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah memberi kesan langsung kepada pertumbuhan PMKS di rantau ini,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button