Menteri Agama minta orang ramai rujuk kenyataan penuh isu LGBT
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menggesa orang ramai supaya membaca kenyataan penuh yang dikemukakannya di Parlimen berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada kelmarin.
Menurut beliau, masyarakat perlu mengamalkan sikap tabayyun dengan mendapatkan maklumat yang tepat serta merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang andaian atau spekulasi berkaitan sesuatu isu.
“Saya menjemput semua pihak, termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh masyarakat, supaya merujuk dan meneliti secara jujur jawapan bertulis penuh yang telah dikemukakan di Parlimen.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tetap menolak sebarang usaha menormalisasikan LGBT kerana ia bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Dr Zulkifli menerima kritikan daripada pengguna media sosial susulan jawapan bertulis beliau di Parlimen yang menyentuh kemungkinan tekanan kerja sebagai antara faktor yang mendorong seseorang terlibat dengan LGBT.
Kenyataan tersebut merupakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang), yang meminta Perdana Menteri mengemukakan data dan statistik terkini berkaitan trend LGBT di Malaysia. Ini termasuk pecahan peratusan mengikut kumpulan umur, komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes berkenaan.
Jawapan penuh Menteri boleh dilihat di pautan https://www.parlimen.gov.my/jawapan-lisan-dr.html?uweb=dr
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








