PEJUANG cakap besar, satu kerusi Parlimen pun tak ada – Syahredzan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyindir kenyataan Ketua Penerangan PEJUANG, Rafique Rashid Ali yang mendakwa arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada agensi penguat kuasa sebagai cubaan “menyekat kebangkitan rakyat”.

Syahredzan berkata, tuduhan itu pelik kerana Perdana Menteri hanya mengarahkan tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan rusuhan dan huru-hara, bukannya untuk mempertahankan kedudukan peribadi.
“Anwar masih kekal disokong majoriti Ahli Parlimen dan sebahagian besar rakyat. Jadi apa kena-mengena dengan kononnya takut kebangkitan rakyat?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, PEJUANG sepatutnya menyokong kenyataan Perdana Menteri demi keamanan dan ketenteraman awam.
“Namun, parti berkenaan lebih gemar menjadikannya sebagai modal politik sempit,” katanya lagi.
Syahredzan turut membidas sikap “anti-Anwar” PEJUANG dan sekutunya Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya cuba menutup kegagalan sendiri.
“Lihat saja Himpunan Turun Anwar. Katanya nak tumbangkan kerajaan, tetapi yang hadir kurang 20,000 orang.
“Itupun ramai datang dari luar Lembah Klang. Sama juga dengan cubaan Waytha Moorthy mempertikai keabsahan Anwar, langsung tidak mendapat sambutan rakyat,” katanya lagi.
Lebih sinis, beliau menyatakan PEJUANG tidak mampu membawa usul undi tidak percaya kerana tidak mempunyai seorang pun wakil di Dewan Rakyat.
“Kalau benar yakin Anwar sudah hilang sokongan, mintalah PN masukkan usul undi tidak percaya seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Kalau tidak, ia hanyalah omong kosong seperti biasa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








