Syarat penguasaan bahasa Melayu bagi pemohon kewarganegaraan termaktub dalam Perlembagaan
KUALA LUMPUR – Penguasaan bahasa Melayu kekal menjadi syarat bagi permohonan taraf kewarganegaraan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan pemohon kewarganegaraan bawah Perkara 16 hendaklah mempunyai tahap pengetahuan asas bahasa Melayu, manakala pemohon kewarganegaraan bawah Perkara 19 pula hendaklah mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.
“Ini bermakna tahap penguasaan bahasa Melayu bagi pemohon taraf kewarganegaraan, diberi keutamaan kerana syarat itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abdul Nasir Idris mengenai sejauh mana tahap penguatkuasaan bahasa Melayu diberi perhatian untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.
Bagi memastikan penguasaan bahasa pemohon menepati syarat, beberapa proses saringan dilaksanakan dalam perkara itu, antaranya ujian bertulis serta temu duga secara lisan dan bersemuka melalui ujian pengetahuan bahasa Melayu terhadap pemohon.
Seterusnya, Shamsul Anuar memaklumkan setakat November lalu, sebanyak 32,000 permohonan kewarganegaraan diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Setakat Oktober lalu, KDN mengeluarkan sebanyak 10,381 keputusan permohonan kewarganegaraan dan jumlah ini melepasi sasaran ditetapkan setiap tahun, iaitu sebanyak 10,000,” katanya lagi
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








