BERITA SEMASA

SPRM Pahang manfaat aktiviti riadah terap mesej antirasuah

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang memperluas pendekatan advokasi antirasuah menerusi aktiviti riadah dan gaya hidup aktif, sekali gus membawa mesej integriti lebih dekat dengan komuniti.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi Program Pendakian Antirasuah: “Integriti Didaki, Rasuah Dijauhi, Alam Dicintai” di Taman Eko Rimba Bukit Pelindung, di sini 19 September lalu.

Program dianjurkan secara bersama SPRM Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, dengan penyertaan seramai 293 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, rakan strategik, Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) dari institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sekitar Kuantan serta masyarakat setempat.

Hadir sama, Datuk Bandar MBK, Datuk Zaliza Zulkipli dan Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud.

Program itu mengetengahkan pendekatan santai dan mesra komuniti dalam menyampaikan mesej pencegahan rasuah, selain menggalakkan gaya hidup sihat dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Pada masa sama, peranan serta fungsi SPRM turut diperkenalkan menerusi pameran aset operasi khusus, Special Purpose Vehicle (SPV), di reruai khas.

Pameran itu memberi peluang kepada peserta dan masyarakat untuk mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai aspek penguatkuasaan SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang peserta terawal tiba di puncak Bukit Pelindung, gimik perasmian dan sesi menandatangani papan tanda antirasuah.

Ia turut disusuli pelancaran simbolik inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC).

Program diakhiri dengan laungan “Warga Kuantan Tolak Rasuah” serta kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah mengetengahkan komitmen masyarakat setempat terhadap usaha membanteras jenayah rasuah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button