BERITA SEMASA

Kes rasuah lot perumahan: Tiada penglibatan Kerajaan Negeri Johor – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terhadap seorang individu yang disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa berkaitan urusan permohonan lot tapak perumahan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, siasatan berkenaan tidak membabitkan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mahupun pegawai Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM dan proses undang-undang untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional serta berlandaskan undang-undang.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai merit kes yang sedang dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Related Articles

Menurut Mohd Jafni, pendirian kerajaan negeri jelas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat.

Beliau berkata, amanah dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat tidak seharusnya dicemari oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap harapan dan kesusahan rakyat untuk memiliki kediaman.

“Kerajaan Negeri Johor sedang bertungkus-lumus memastikan lebih ramai Bangsa Johor mempunyai akses kepada rumah yang mampu dimiliki.

“Amanah sebesar ini tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengambil kesempatan atas harapan dan kesusahan rakyat untuk memiliki sebuah rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Johor kekal komited mencapai sasaran penyiapan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung tahun ini.

Katanya, setakat ini lebih 21,000 unit RMMJ telah siap dan diserahkan kepada rakyat Johor.

Menurutnya, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri bagi memastikan agenda pemilikan rumah rakyat dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti.

Mohd Jafni turut menyeru rakyat supaya sentiasa berurusan melalui saluran rasmi dan tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang meminta bayaran berkaitan urusan perumahan.

“Sekiranya terdapat sebarang permintaan bayaran, laporan hendaklah segera dibuat kepada pihak berkuasa.

“Dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga. Hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button