BERITA SEMASA

SPRM rancang Hab Gudang Sita Kekal Mengikut Zon

ALAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merangka pembangunan Hab Gudang Sita Kekal Mengikut Zon bagi memperkukuh pengurusan barang kes dan harta sitaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, pembangunan kemudahan berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan kapasiti penyimpanan selaras dengan perkembangan operasi SPRM.

“Perancangan ini perlu melihat kepada keperluan SPRM bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga mengambil kira perkembangan operasi pada masa akan datang.

sprm
Junipah (tengah) bersama peserta Bengkel Spesifikasi dan Anggaran Kos Awalan Projek Pembinaan Gudang Sita Zon SPRM di SPRM Melaka, di sini hari ini. – GAMBAR IHSAN SPRM

“Setiap spesifikasi yang ditetapkan perlu benar-benar memenuhi keperluan pengurusan barang kes dan harta sitaan, termasuk aspek keselamatan, fungsi serta penggunaan ruang secara optimum,” katanya ketika merasmikan Bengkel Spesifikasi dan Anggaran Kos Awalan Projek Pembinaan Gudang Sita Zon SPRM di SPRM Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Siti Nor Minu dan Arkitek Penguasa Kanan JKR, Mohd Amir Mohd Dali.

“Cadangan ini selari dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Julai lalu supaya kemudahan sendiri dibangunkan sebagai hab mengikut zon yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan Gudang Sita Kekal Mengikut Zon akan menyediakan kemudahan khusus yang lebih tersusun bagi menyokong pengurusan barang kes dan harta sitaan SPRM.

“Penglibatan Pakar Bidang Khusus (SME) SPRM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) penting bagi memastikan keperluan operasi diterjemahkan kepada perancangan ruang serta spesifikasi teknikal yang bersesuaian,” katanya.

Terdahulu, Junipah turut menyertai lawatan tapak projek pembinaan Gudang Sita bagi Zon Selatan di tapak bersebelahan Pejabat SPRM Melaka, semalam.

Pembangunan gudang sita yang dirancang pada tapak itu mempunyai kapasiti kira-kira 150 petak bagi penempatan kenderaan sita, selain menjadi gambaran awal terhadap keperluan dan perancangan pembangunan kemudahan berkenaan.

Kemudahan tersebut dirancang bagi menempatkan pelbagai barangan berkaitan siasatan termasuk kenderaan, dokumen, peralatan elektronik dan aset lain sementara menunggu keputusan mahkamah, proses pelucuthakan atau pelupusan.

Dalam masa yang sama, SPRM turut mencadangkan penyediaan tapak sementara di Kuala Lumpur bagi menampung keperluan penyimpanan barang sitaan sementara projek kekal disiapkan.

Bengkel berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyediaan Need of Statement yang merangkumi keperluan ruang dan spesifikasi bagi pembangunan kemudahan mengikut empat zon iaitu Zon Tengah, Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan, selain mendapatkan Anggaran Kos Awalan (AKA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button