BERITA SEMASA

16 pemandu positif dadah dalam Ops Bersepadu JPJ Johor

MUAR – Seramai 16 pemandu kenderaan barangan dan perkhidmatan awam dikesan positif dadah menerusi Ops Bersepadu Dadah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor sejak 1 Julai lalu hingga semalam.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, daripada 164 pemandu yang menjalani ujian saringan air kencing, 10 didapati positif methamphetamine, tiga positif syabu, dua positif ganja dan seorang positif morfin.

Menurutnya, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad itu melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi strategik di seluruh negeri.

“Daripada 16 pemandu terbabit, 10 didapati positif methamphetamine, syabu (tiga), ganja (dua) dan morfin (seorang).

“Kesemuanya adalah dalam kalangan 164 pemandu yang menjalani ujian saringan air kencing,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Dadah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh arah selatan di sini semalam.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan di kawasan R&R lebuh raya, hadapan Stesen Penguat Kuasa (SPK) JPJ dan terminal bas berdasarkan tahap risiko serta corak pergerakan kenderaan.

Menurutnya, lesen vokasional pemandu yang didapati positif dadah akan digantung atau dibatalkan selaras Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi sama, JPJ turut mengesan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada lesen memandu (707 kes), cukai jalan tamat tempoh (626), insurans tamat tempoh (574), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (128), kenderaan lebih muatan (113), lesen memandu tamat tempoh (30), GDL tamat tempoh (14) dan cakera PUSPAKOM tamat tempoh (51).

Selain itu, sebanyak 39 kes membabitkan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran, 30 kes tayar tidak mengikut spesifikasi serta 928 kesalahan teknikal lain turut dikesan sepanjang operasi berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button