Suspek dadah cuba larikan diri, polis lepas tiga das tembakan
JOHOR BAHRU – Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, suspek yang merupakan pemandu kereta jenis Honda Accord bertindak melarikan diri ke ruang parkir pangsapuri selepas menyedari kehadiran polis.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, polis melepaskan tembakan ke arah kereta suspek berusia 27 tahun itu dan berjaya memberhentikan kenderaan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin seberat 296 gram di dalam kereta berkenaan dipercayai milik suspek.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 16 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Kumar berkata, akibat kejadian itu, tiga buah buah kenderaan yang dilanggar oleh suspek mengalami kerosakan teruk, manakala suspek tidak mengalami kecederaan.
Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan serta Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah.
Dalam pada itu, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chai Ing Hien, telah membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







