Indonesia rampas 2.6 tan methamphetamine cecair, 10 kru kapal ditahan
JAKARTA – Indonesia merampas sebanyak 2.6 tan methamphetamine cecair yang disembunyikan dalam sebuah kapal berbendera Tanzania yang dipintas di perairan berhampiran Bengkalis, Riau.
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan 10 anak kapal, kesemuanya warga Myanmar, sekali gus menjadi antara rampasan dadah terbesar yang direkodkan di negara itu.
Pegawai Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN), Roy Hardi Siahaan berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam lapan tong air dan sebuah tangki air ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kapal MV Rain Maker.
“Pemeriksaan mendapati 2.6 tan metamfetamin atau meth cecair disimpan dalam lapan tong air dan sebuah tangki air,” katanya memetik laporan berita luar.
Kapal yang dipercayai menggunakan nama palsu dipintas dalam operasi bersama BNN dan Jabatan Kastam lewat Isnin lalu.
Menurut BNN, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah kapal dari Sarawak yang melalui Laut Andaman sebelum dipercayai membawa muatan dadah ke Indonesia.
Selain dadah, pemeriksaan menggunakan anjing pengesan turut menemukan lebih 1.5 juta batang rokok seludup di dalam kapal terbabit.
Rampasan terbaharu itu berlaku kurang dua minggu selepas pihak berkuasa Indonesia merampas 1.3 tan ketamin daripada sebuah kapal di perairan Kepulauan Riau berhampiran Singapura pada 8 Ogos lalu.
Dalam operasi tersebut, lapan anak kapal, termasuk tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan, ditahan.
Sementara itu, tahun lalu Indonesia mengumumkan rampasan terbesar dalam sejarah negara itu selepas dua tan kristal methamphetamine ditemukan dalam sebuah bot nelayan yang belayar dari Laut Andaman menuju Pulau Batam.
Indonesia antara negara yang mengenakan undang-undang antidadah paling ketat di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pengedar dadah. Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman mati di negara itu kini berada dalam moratorium.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








