JENAYAH & MAHKAMAH

Dua anggota polis ditahan berhubung kes rogol, samun pelajar Uzbekistan

AMPANG JAYA – Dua anggota polis berpangkat konstabel ditahan dipercayai terlibat dalam kes rogol dan samun pelajar dari Uzbekistan di Bukit Ampang, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bertindak atas laporan polis oleh kedua-dua mangsa yang merupakan penuntut kolej swasta.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada 10.09 malam ketika mangsa iaitu seorang pelajar lelaki dan perempuan ditahan oleh suspek yang beruniform di Bukit Ampang View, di sini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun telah dibawa oleh suspek secara berasingan.

“Dalam kejadian itu, seorang suspek bertindak merogol mangsa dalam kenderaan polis manakala rakan lelaki mangsa dibawa ke bank untuk mengeluarkan wang bagi menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap kedua-dua suspek petang semalam dan direman selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dengan membuka dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya ditalian 03-42897222 bagi membantu siasatan.

“Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button