Kerajaan tegas, tiada kompromi terhadap amalan seleweng akidah – Dr Zulkifli
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam, susulan penularan rakaman video yang didakwa memaparkan seorang individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan demi memelihara kesucian akidah umat Islam.
Beliau berkata, beberapa rakaman video yang tersebar di media sosial itu didakwa memperlihatkan perlakuan berkaitan ritual keagamaan bukan Islam, termasuk unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.
“Tindakan sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian, siasatan dan tindakan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan tegas dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan berhubung isu itu akan berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti.
“Sebarang tindakan akan berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








