Istilah ‘kafir harbi’ tidak lagi sesuai dalam konteks Malaysia
PUTRAJAYA – Penggunaan istilah kafir harbi terhadap warganegara Malaysia tidak lagi sesuai kerana semua rakyat tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta berkongsi tanggungjawab dalam mempertahankan dan membangunkan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu merupakan antara rumusan yang dicapai dalam Sidang Meja Bulat Kafir Harbi di Malaysia: Satu Perbincangan yang membincangkan kedudukan istilah berkenaan dalam konteks Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil perbincangan, pembentangan dan pertukaran pandangan dalam sidang berkenaan mendapati istilah kafir harbi tidak sesuai digunakan terhadap rakyat Malaysia.
“Setelah perbincangan, pembentangan dan juga pertukaran pandangan, kita secara umumnya merumuskan istilah kafir harbi di Malaysia tidak sesuai kerana warganegara Malaysia seluruhnya termaktub di bawah Perlembagaan (Persekutuan) dan kita semua adalah masyarakat dan warga Malaysia, sewarganegara, setanah air.
“Saya rasa istilah yang digunakan dalam konteks kafir harbi itu tidak sesuai lagi berada di negara kita kerana semuanya sudah pun bersama-sama dan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan dan membangunkan negara ini,” katanya memetik laporan Bernama.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mempergiatkan usaha penerangan serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu berkenaan.
Katanya, pendekatan secara bersama itu penting bagi memastikan usaha memperkukuh integrasi nasional dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada sektor agama.
“Kita ingin memberikan nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan, merapatkan ukhuwah dan menghormati antara satu sama lain di samping memahami budaya, agama supaya kita dapat benar-benar memperkukuh perpaduan untuk negara kita Malaysia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







