BERITA SEMASA

Orang beriman tidak senda, hina penganut lain – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Perbuatan mempersenda, menghina, mencemuh atau merendahkan orang lain, termasuk menjadikan simbol dan tokoh agama sebagai bahan jenaka, adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu ditegaskan menerusi kenyataan yang mengingatkan bahawa Surah Al-Hujurat ayat 11 jelas melarang orang beriman daripada menghina sesama manusia, mengejek, memanggil dengan gelaran buruk serta mencela antara satu sama lain.

Menurutnya, setiap pemimpin seharusnya mengangkat wacana yang matang dalam setiap pidato atau ucapan, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan pengukuhan perpaduan.

“Perbuatan menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan lelucon, merendahkan nilai adab kepimpinan dan merobek keharmonian antara agama yang sentiasa dipertahankan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa jenaka berunsur seksual, apatah lagi yang menyentuh sensitiviti institusi agama lain, tidak sewajarnya menjadi sebahagian daripada ucapan seorang pemimpin.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang menjadi teladan kepada masyarakat, khususnya mereka yang beragama Islam, sebarang kekhilafan sewajarnya diinsafi dan ditangani dengan sebaiknya.

“Semua pihak diseru kembali menumpukan perhatian kepada isu-isu kepentingan rakyat serta membudayakan wacana awam yang berasaskan hikmah, kesopanan dan nilai akhlak yang tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button