JENAYAH & MAHKAMAH

Muhyiddin lepas bebas empat pertuduhan Jana Wibawa RM200 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada empat pertuduhan berkaitan Program Jana Wibawa membabitkan jumlah RM200 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya empat daripada tujuh pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu diberikan perintah lepas dan bebas.

Empat pertuduhan berkenaan merangkumi satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta.

“Mahkamah melepas dan membebaskan empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin, 79, didakwa ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan projek Jana Wibawa.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhyiddin turut didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik BERSATU di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan lain menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta seorang individu, Azman.

Pertuduhan berkenaan turut berkaitan dengan projek Jana Wibawa.
Muhyiddin yang berada di kandang tertuduh dilihat lega selepas keputusan itu, manakala penyokongnya di galeri awam turut bersorak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button