Rayuan akhir Da’i Syed terhadap sabitan rogol diketahui Rabu ini
PUTRAJAYA – Keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti, Da’i Syed bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu akan diketahui Rabu ini.
Keputusan sama ada rayuan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dibenarkan atau ditolak akan diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Pada prosiding 3 Ogos lalu, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk M Athimulan yang mewakili Da’i Syed berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mensabitkan anak guam mereka.
Pihak pembelaan turut mempertikaikan dapatan hakim yang menggambarkan pengadu sebagai wanita naif, dengan berhujah ia bercanggah dengan keterangan mangsa yang menyatakan dirinya seorang dewasa matang dan mampu menjaga keselamatan diri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim yang bertindak sebagai responden menegaskan perbuatan seksual itu berlaku tanpa persetujuan dan kerelaan mangsa.
Pada 14 Februari lalu, Da’i Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan selepas menjalani hukuman penjara selama 21 hari sementara menunggu rayuan berhubung sabitan dan hukumannya.
Sebelum itu, pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Da’i Syed selain menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman.
Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan dalam rayuan terhadap sabitan serta hukuman berkenaan.
Mahkamah Tinggi berpendapat hakim bicara tidak terkhilaf dalam membuat keputusan, manakala pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes itu.
Susulan keputusan berkenaan, Da’i Syed memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu bagi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.
Pada 10 Disember 2020, dia didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





