JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan benar penggantungan hukuman, Da’i Syed dibebaskan sementara

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful atau Da’i Syed dibebaskan sementara selepas Mahkamah Rayuan, di sini, membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya, sementara menunggu rayuan diputuskan.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azmi Ariffin bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Hakim Azmi ketika membacakan keputusan berkata, selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak serta meneliti alasan dan hujahan bertulis, mahkamah mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan dengan jaminan sehingga rayuannya diputuskan.

Dalam prosiding tersebut, Da’i Syed diwakili peguam M Athimulan manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim@Husaini. Turut hadir ialah isterinya, Hana Ismail, 40.

Peguam Dai Syed
Da’i Syed diwakili peguam, M Athimulan (kiri) dan Datuk Abu Bakar Isa Rahmat (kanan).

Menurut Hakim Azmi, antara pertimbangan mahkamah ialah pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi.

“Tiada keterangan melalui afidavit yang menunjukkan pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri daripada menghadiri prosiding di mana-mana peringkat mahkamah.

“Ini juga merupakan kesalahan pertama pemohon dan perkara itu wajar diberikan pertimbangan,” katanya memetik laporan Metro Online.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan beberapa syarat termasuk jaminan RM40,000 dengan dua penjamin yang tidak semestinya daripada ahli keluarga.

BACA JUGA:

Kes rogol: Da’i Syed kekal bersalah, dipenjara serta-merta termasuk tiga sebatan

Pasport antarabangsa pemohon juga perlu diserahkan dan disimpan oleh mahkamah.

Selain itu, Da’i Syed dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan bermula Mac 2026 sehingga rayuan diputuskan.

Mahkamah turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran syarat akan menyebabkan jaminan dibatalkan.

Sejurus prosiding berakhir, Hana dilihat memeluk suaminya yang mengenakan pakaian lokap berwarna oren.

Pada 23 Januari lalu, Da’i Syed diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024.

Dia sebelum ini didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika kejadian di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada 11 September 2019.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button