Mahkamah Thailand bakal putuskan ‘nasib’ Thaksin, Paetongtarn juga mungkin dilucutkan
BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra bakal mengetahui nasibnya esok apabila mahkamah negara itu dijangka memutuskan keputusan pertuduhan menghina institusi diraja di bawah undang-undang yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Pertuduhan itu berpunca daripada wawancara Thaksin, 76, dengan sebuah akhbar Korea Selatan pada 2015 berhubung ‘kudeta’ tentera yang menumbangkan adiknya, Yingluck Shinawatra, pada 2014.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, Thaksin masih menjadi figura berpengaruh dalam landskap politik Thailand.
Penganalisis berpendapat keputusan kali ini bakal menguji hubungan rumit beliau dengan golongan elit diraja.
“Jika didapati tidak bersalah, Thaksin boleh menggunakan keputusan itu sebagai bukti kesetiaannya kepada institusi diraja, sekali gus menangkis tuduhan lawan politik yang mencetuskan konflik sejak dua dekad lalu.
“Namun jika bersalah, ia boleh mencetuskan pusingan baharu ketegangan politik,” kata sarjana undang-undang dan politik Thailand, Verapat Pariyawong dari Universiti SOAS, London seperti dilaporkan Al-Jazeera.
Thaksin pulang ke Thailand tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan bagi mengelak hukuman penjara kes rasuah.
Bagaimanapun, beliau tetap dipenjara seketika sebelum hukumannya dipendekkan.
Kini, selain tuduhan menghina raja, beliau turut berdepan perbicaraan kerana didakwa berpura-pura sakit bagi mengelak hukuman penjara.
Dalam masa sama, anak perempuan Thaksin yang juga Perdana Menteri Thailand (digantung tugas), Paetongtarn Shinawatra turut berdepan cabaran undang-undang.
Beliau kini dituduh melanggar etika selepas rakaman perbualan telefonnya dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, didedahkan bulan lalu.
Dalam perbualan itu, Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai “pakcik” serta mengkritik seorang komander tentera Thailand yang yang dianggap mencemar imej seorang perdana menteri.
Mahkamah dijangka membuat keputusan dalam kes beliau pada 29 Ogos yang boleh menyebabkan Paetongtarn kehilangan jawatan secara kekal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







