JENAYAH & MAHKAMAH

Guru wanita rempuh pelajar hingga maut berdepan hukuman penjara 10 tahun

KOTA BHARU – Seorang guru Pendidikan Islam berdepan tindakan undang-undang selepas dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya sebelum merempuh pelajar hingga maut di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta penjara lima hingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

rempuh pelajar
Guru wanita berusia 57 tahun (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Menurut beliau, guru berkenaan telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan dijangka akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

“Guru tersebut akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

BACA JUGA:

Kes rempuh pelajar: Guru wanita direman dua hari

Pelajar maut, rakan cedera dilanggar kereta dalam kawasan sekolah

Semalam, media melaporkan, seorang guru Pendidikan Islam direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh di depan surau SMK Tanjong Mas di sini.

Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun yang bermula semalam hingga hari ini dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Ahad lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut selepas dirempuh SUV jenis Honda HRV di dalam kawasan sekolah berkenaan.

Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di depan surau itu akibat cedera parah pada bahagian kepala, manakala rakannya cedera parah dan dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asistan Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu SUV berkenaan yang dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button