Guru mengaji menangis rayu hukuman ringan kes amang seksual tiga murid lelaki
PASIR MAS – Seorang guru mengaji al-Quran menangis ketika merayu di hadapan hakim supaya hukumannya diringankan dalam kes amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelakinya, dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.
Tertuduh, Hanafi Hassan, 64, dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Hakim Zulkpli Abdullah selepas mengaku bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan melibatkan tiga mangsa kanak-kanak lelaki berusia 9, 10 dan 11 tahun.
Hanafi yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukumannya diringankan atas alasan sudah berusia selain turut menjadi penanggung tunggal keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan sebagai pendakwa berhujah, satu hukuman berat penting bagi menyampaikan mesej bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak merupakan jenayah serius dan tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.
“Mangsa masih terlalu muda dan tertuduh pula guru mengaji mereka sudah tentu dihormat dan dipercayai, namun lelaki ini sebaliknya mengambil kesempatan dengan melakukan amang seksual terhadap mangsa secara berulang kali antara tahun 2023 hingga 2025.
“Tertuduh juga pelbagai cara untuk mempengaruhi mangsa termasuk membawa mereka keluar, membelikan pengecas telefon, kad sim dan kasut serta mengugut tidak mahu lagi mengajar mengaji sekiranya mangsa enggan menurut kehendaknya,” katanya.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Mei lalu selain mengenakan perintah tambahan dengan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara serta pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh hukuman itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bermula ketika mangsa berusia sembilan tahun empat bulan pada Mei 2023, 16 Mac 2024, 26 Januari dan 11 Oktober tahun lepas.
Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak berbeza bermula semasa mangsa berusia sembilan tahun 11 bulan pada 25 September, 2 Oktober dan 24 Oktober tahun lepas.
Pada pertuduhan lapan dan sembilan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lain berusia 11 tahun dua bulan pada 23 November dan 7 Disember tahun lepas.
Kejadian-kejadian berlaku berasingan antara jam 8 pagi hingga 5.45 petang di tandas, bilik mandi dan stor di dua masjid serta sebuah stor kedai gunting rambut di Kusial Bharu, Tanah Merah.
Kesemua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





