Mahkamah jatuhkan hukuman mati ke atas bekas PM Bangladesh
DHAKA – Mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina, atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.
Terdahulu, Hasina, 78, mengingkari arahan mahkamah supaya kembali dari India untuk menghadiri perbicaraannya berkaitan dakwaan bahawa beliau mengarahkan tindakan keras berdarah terhadap kebangkitan pelajar yang menggulingkannya.
Menurut AFP, keputusan yang dinanti-nantikan itu turut disiarkan secara langsung di televisyen nasional dan diumumkan menjelang pilihan raya pertama sejak kejatuhannya pada Ogos 2024.
“Semua… elemen yang membentuk jenayah terhadap kemanusiaan telah dipenuhi,” kata hakim, Golam Mortuza Mozumder, hari ini.
Hasina “didapati bersalah atas tiga pertuduhan”, termasuk hasutan, arahan membunuh, dan kegagalan menghalang kekejaman.
“Kami memutuskan untuk mengenakan hanya satu hukuman iaitu hukuman mati.”
Sementara itu, bekas menteri dalam negeri, Asaduzzaman Khan Kamal yang juga melarikan diri, turut dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Bekas ketua polis, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, yang hadir di mahkamah dan mengaku bersalah, dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Ketua pendakwa raya, Tajul Islam, sebelum keputusan diumumkan berkata, beliau berharap “impian rakyat terhadap keadilan akan dipenuhi, dan keputusan ini menandakan pengakhiran kepada jenayah terhadap kemanusiaan.”
Pendakwa raya mengemukakan lima pertuduhan, termasuk kegagalan menghalang pembunuhan, yang diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang Bangladesh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





